Tuesday, May 22, 2007

Perihal zakat perniagaan..

Apakah dia zakat perniagaan??

Komoditi Perniagaan

1- Aset tetap adalah seperti alat-alat, bangunan, kereta dan jentera-jentera. Kesemua barangan seperti ini dikira sebagai aset tetap dan tidak dikenakan zakat, malah ia juga tidak termasuk di dalam barang yang dikenakan zakat.

2- Harta akan dikira sebagai barang perniagaan berdasarkan kepada niat mula-mula ia dibeli. Sekiranya seseorang itu membeli kereta dan ketika membeli itu dia berniat untuk kegunaan peribadi dan di dalam niat itu juga dia menyatakan bahawa dia akan menjual kereta tersebut sekiranya dia akan mendapat keuntungan, harta seperti ini tidak dikira sebagai harta yang wajib dikeluarkan zakat. Keadaan ini berbeza dengan seseorang yang membeli sejumlah kereta dengan niat untuk perniagaan dan ingin mendapatkan keuntungan, oleh yang demikian apabila dia menggunakan salah sebuah dari kereta-kereta tersebut, ini bermakna ia dikira dari harta perniagaan yang wajib dikeluarkan zakat.

3- Penaksiran harga barang perniagaan hendaklah dibuat mengikut harga borong sama ada barang tersebut dijual secara borong atau secara runcit. Pendapat ini di ambil dari Institusi Fekah di Mekah.

4- Para peniaga hendaklah mentaksirkan kekayaan perniagaannya dengan harga pasaran semasa, sama ada harga tersebut lebih rendah dari harga beli ataupun lebih tinggi. Apa yang dimaksudkan dengan harga pasaran semasa ialah harga jualannya ketika zakat wajib dikeluarkan.

5- Apabila seseorang itu memiliki beberapa saham dan syarikat telah mengeluarkan zakat terhadap saham-saham tersebut, pemilik saham tersebut tidak wajib mengeluarkan zakat dari saham-sahamnya, ini bagi mengelak dari berlakunya pertindanan di dalam pembayaran zakat. Adapun sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat, pemilik-pemilik saham tersebut wajib mengeluarkan zakat bagi saham-sahamnya dan kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 2.5% dari harga pasaran saham. Keadaan ini berlaku apabila dia menggunakan saham-sahamnya itu untuk diperniagakan (dijual-beli) tetapi jika dia menggunakan saham-sahamnya untuk mengambil manfaat dari hasil pendapatan tahunannya, dia hendaklah mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% dari hasil pendapatan tahunan saham-sahamnya, bukannya dari harga saham.

6- Berurusan dengan menggunakan bon adalah haram kerana ianya mengandungi faedah-faedah riba yang diharamkan, oleh yang demikian pemilik bon tersebut wajib mengeluarkan zakat setiap tahun terhadap harga asal bon dengan cara menggabungkan harga modal bon ke dalam hartanya mengikut nisab dan haul kemudian dia hendaklah mengeluarkan zakat bagi kesemua hartanya itu dengan kadar sebanyak 2.5% tanpa dicampurkan dengan faedah riba yang diperolehi.

7- Mengenai hutang pula sama ada orang lain berhutang dengan kita atau kita berhutang dengan orang lain, ia hendaklah dimasukkan ke dalam bab hutang, iaitu dikira dan ditolak segala hutang terlebih dahulu kemudian barulah dikeluarkan zakat.


Ehsan daripada: Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Nasihat

http://zakat.al-islam.com/help/tegarahelp.asp?l=mal

No comments: