aku bawakan khas dari....
ZAKAT PERNIAGAAN: POTENSI DAN CABARANDI ERA EKONOMI BARU
oleh Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti Tun Abdul Razak(UNITAR)
MUQADDIMAH
Dengan menjadikan zakat sebagai salah satu daripada rukun yang lima, Islam telah menganjurkan supaya manusia berusaha sekali gus untuk kehidupan di akhirat dan juga di dunia. Firman Allah (swt) yang bermaksud:
“Dan carilah dari apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu kehidupan diakhirat dan jangan kamu lupakan pula keperluan (nasib) kamu didunia”2
Adalah jelas daripada ayat ini, bahawa segala usaha kita adalah untuk akhirat. Walau pun demikian, usaha untuk akhirat inilah juga yang akan mendatangkan manfaat untuk kehidupan kita di dunia. Harus diingat bahawa usaha ke arah akhirat tidak semestinya terhad kepada fardhu ‘ain semata. Ini adalah salah sama sekali, kerana segala usaha yang baik (amal saleh) itu adalah ibadat jua. Bahkan bersama dengan isteri juga adalah ibadat. Ini merupakan salah satu daripada kelebihan dan keadilan Islam.
Keadilan Islam ini juga terdapat dalam penentuan zakat itu sendiri. Ia dikenakan atas harta dan kekayaan hanya jika sekiranya memenuhi segala syarat-syaratnya. Tidak ada dalam mana-mana perbahasan mengenai zakat yang mengenakan zakat atas lain daripada harta atau kekayaan. Maka antara masalah yang ketara sekali pada zaman ini ialah samaada kita boleh kenakan zakat atas ilmu kerana ekonomi kita kelak adalah berdasarkan ilmu. Untuk menjelaskan hal ini, kita perlu mengupas beberapa isu.
1. JENIS ZAKAT
Selain daripada zakat fitrah atau zakat al-fitr, Islam telah menentukan supaya zakat dibayar atas harta dan kekayaan yang berasal dari berbagai aktiviti. Mengikut Sheikh Dr.
Yusuf Al-Qardawi, beliau telah membahagikan zakat kepada sembilan kategori seperti berikut:
a) Zakat binatang ternak
b) Zakat emas dan perak
c) Zakat kekayaan dagang (trade)
d) Zakat pertanian
e) Zakat madu dan produk haiwan
f) Zakat barang tambang dan hasil laut
g) Zakat pelaburan fabrik, gedung dan lain-lain
i) Zakat pencarian dan profesi
j) Zakat saham dan obligasi
Pada umumnya yang diwajibkan zakat adalah harta dan kekayaan. Cuma yang penting kita memahami ialah, Islam telah menentukan supaya menjeniskan harta dan kekayaan itu mengikut puncanya atau sumbernya.
Oleh itu saya berpendapat bahawa sebenarnya dari sembilan yang dikategorikan oleh Dr. Yusuf Al-Qardawi, ia boleh disingkatkan kepada lima sahaja.
(a) Zakat ternakan (sama dengan a) di atas)
(b) Harta dan Kekayaan yang berpunca dari simpanan atau tabungan (iaitu emas danperak)
(c) Zakat perniagaan (sama dengan c), e), g), i) dan j) di atas)
(d) Zakat pertanian (sama dengan d) di atas); dan
(e) Zakat perlombongan atau rikaz (sama dengan f) di atas)
Yang berbeza antara penyenaraian Dr. M. Yusuf Al-Qardawi dengan saya ialah tentang zakat perniagaan sahaja. Saya mengumpulkan semuanya kerana pada saya ia tidaklah begitu berbeza. Penjenisan zakat mengikut punca kekayaan dan harta amat pentingkerana setiap satu darinya memberikan formula yang berbeza.
1 Kertas kerja untuk Konvensyen Zakat Kebangsaan, anjuran bersama Sekretariat Pusat Zakat Negeri-Negeri (SPZ) dan Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama AFTAAS Consulting SdnBhd di Renaissance Palm Garden Hotel, Putrajaya, pada 18 September 2001.
2 Surah Al-Qasas (28) ayat 772M.
No comments:
Post a Comment